Saturday 5 May 2012

TERNAKAN UDANG

Artikel dan gambar oleh NORZAINURA ABDUL MAJID

Najee Muddin Ibrahim BANGGA MENUNJUKKAN UDANG HASIL KOLAMNYA DI bATU pAHAT, jOHOR.


MENGALAMI kerugian pada tahun pertama pembabitannya dalam bidang penternakan air tawar atau akuakultur tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa menoleh ke belakang.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu mengaku kalah, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat untuk terus maju.

Dengan sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan rapat menjadikan dia seorang yang gigih dalam setiap apa yang diusahakannya.

''Saya memulakan projek ternakan udang harimau ini sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 tanpa pinjaman atau bantuan daripada mana-mana institusi kewangan," jelasnya.

Pada awal pembabitannya, Najee Muddin berkongsi bersama seorang rakan tetapi selepas mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, dia tidak pernah putus asa dan yakin dalam setiap apa yang diusahakannya.

Kegagalan lalu dijadikan sebagai penguat semangat dan sokongan daripada keluarga yang tidak putus-putus menjadikannya begitu tabah meski jauh di sudut hati dia berasa agak kecewa.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang, Batu Pahat, Johor kira-kira tujuh tahun lalu.

Najee Muddin memulakan ternakan udang dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu.

Kini dia mempunyai enam buah kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Menurutnya, benih anak udang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu.

Setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan pada awal pembabitannya dulu.

''Dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil.

Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya ketika ditemui kolam ternakan udangnya baru-baru ini.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya terutama dari segi harga udang yang ada turun naiknya.

udang harimau

Tetapi pada tahun ini, apabila harga udang harimau agak tinggi beliau turut menternak udang putih yang mendapat permintaan di pasaran dengan harga pasaran yang lebih rendah tetapi permintaannya tinggi.

Dia yang mulanya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Bermula dari situ, kemahiran dalam menternak udang dapat diketahui dari semasa ke semasa.

Ini menjadikan Najee Muddin yakin dan bersemangat dalam apa yang diusahakan agar kerugian dan pengalaman pahit yang dilaluinya di awal pembabitan dalam ternakan udang dapat ditebus sekali gus menjadikan dirinya seorang yang tidak mudah mengalah.

Tambahnya lagi, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, Najee Muddin dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor pada tahun lalu juga mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini Najee Muddin telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd. dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Tambahnya, dia telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Tanjung Manis Halal Park Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang harimau, udang putih dan ikan kerapu.

''Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh pajakan selama 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 billion," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau juga akan mengusahakan makanan frozen berasaskan udang dan ikan dan akan di eksport ke luar negara khusus untuk mereka yang beragama Islam.

Katanya lagi, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci telah pun dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini katanya, sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur memandangkan produk halal Malaysia yang akan dihasilkannya adalah dari Zon Halal Park.

Justeru katanya, dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang serta halal, ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan yang halal tanpa rasa ragu.

Bagi Najee Muddin ia merupakan cabaran baru baginya dalam melebarkan sayap syarikat untuk menjadi penternak udang dan ikan yang terbesar serta mengeksport makanan sejuk beku yang halal ke luar negara dengan kualiti yang terjamin.

MENTERNAK KETAM BERKULIT LEMBUT

image

inilah cangkerang ketam selepas proses bersalin kulit. Pengguna tidak perlu lagi membuang kulit ketam kerana ia lembut dan boleh dimakan.

image KUANTAN - Ketam, sinonim dengan cangkerang yang kulitnya keras. Berikutan itu ada di antara kita yang tidak gemar memakan ketam.
Jika tersilap langkah, sudah pasti akan tertelan kulitnya dan boleh menyebabkan kecederaan pada tekak.
Namun seorang usahawan di Seberang Balok di sini telah menternak ketam berkulit lembut dan memasarkan ke pasaran domestik.
Penternak ketam tersebut, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali berkata, beliau telah membuat kajian mengenai kulit (cangkerang) lembut ketam itu sejak 2007 secara sendirian.
"Ketam tanpa cangkerang ini agak asing di Malaysia. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.
"Teknik pembiakan dan penjagaan ketam itu dipelajari daripada kaedah tradisional. Hasil daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran.
"Dalam tempoh tiga tahun melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) itu juga, saya banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air dengan ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, ketam dari spesies scylla olivacea (ketam nipah) dan scylla serrata (ketam laut) yang tidak mempunyai kulit keras tersebut melalui proses bersalin cangkerang sebelum dikumpul untuk dipasarkan.
"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cangkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd., itu dikumpulkan selepas proses tersebut selesai.
"Ia merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cangkerang," kata beliau semasa ditemui di pusat ternakan ketam seluas lapan hektar yang diusahakannya di sini.
Tambah beliau lagi, ketam itu sangat unit kerana tidak mempunyai kulit yang keras malah boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa membuang kulit.
Mengulas lanjut mengenai sistem kitaran air itu, beliau berkata, air segar dipam menggunakan mesin pengepam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum bagi membolehkan ketam terus hidup.
Ujar beliau, proses menternak juga dilakukan secara tradisional namun sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula selepas bersalin kulit.
"Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar.
"Teknik menternak di dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau," katanya.
Jelasnya, bagaimanapun, proses cangkerang mengeras semula selepas bersalin kulit menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.
Dr. Syed Badaruddin Syed Ali menunjukkan antara peralatan yang digunakan untuk proses ketam berkulit lembut. - utusan/Rushdi Salleh
--------------------------------------------------------------------------------
Menurutnya, kebiasaannya, cangkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada dalam air tawar.
Katanya, ketam-ketam tersebut juga memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna dan ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.
Jelas Syed Badaruddin, 10 ekor ketam yang diternak dalam 1,000 gelung perigi, hanya lima akan terus hidup sebelum bersalin cangkerang kerana hidup dalam persekitaran air tawar.
"Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam ini melalui proses bersalin cangkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga 3 pagi.
"Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses bersalin cangkerang, para pekerja diperlukan untuk memantau pada waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.
"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam juga perlu diasingkan daripada cangkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.
Katanya, ketam-ketam tersebut dijual RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea sekitar Kuala Lumpur.
"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cangkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih.
"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.
Jelasnya, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam bercangkerang lembut semakin popular di kalangan penggemar makanan laut.
"Bagi mencapai objektif itu, skala pengeluaran harus diperbesar dan memerlukan kos lebih tinggi. Kecekapan lebih berkesan juga diperlukan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran disebabkan kos yang tinggi.
"Tahun hadapan, kita sedang cuba untuk mendapat taraf inkubator membenih ketam di Bachok dan Pekan. Objektif untuk memasarkan ketam ini dalam pasaran antarabangsa sedang giat diusahakan," katanya.
Selain itu, Ternak Unggul Sdn. Bhd. juga terlibat dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor baru-baru ini sebagai usaha mempopularkan ketam berkulit lembut ini di kalangan rakyat Malaysia.

Sumber:utusan malaysia

Thursday 16 February 2012

TERNAKAN BELANGKAS

Darah belangkas RM17,500 seliter
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
Berita Harian, 2 Jul 2007

Belangkas

KOTA BHARU: Harga darah belangkas yang mencecah RM17,500 seliter ekoran permintaan tinggi oleh industri farmaseutikal dunia, mendorong pengembangan usaha memelihara hidupan akuakultur itu di negeri ini.

Pengerusi Koperasi Industri Desa Islam Kelantan Berhad (KIDIKB), Datuk Dr Ilias Hussain, berkata KIDIKB akan mewujudkan sebuah makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta pemasaran belangkas.
Katanya, makmal dengan kos kira-kira RM10 juta itu akan turut membabitkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terutama dalam bidang R&D.
"Belangkas mempunyai potensi pasaran besar terutama dalam bidang perubatan menerusi pengambilan darahnya yang bernilai tinggi, mencapai harga RM17,500 seliter.
"Ekoran itu, kita berusaha mengembangkan usaha ini menerusi penyediaan sebuah makmal serta kerjasama dengan UMT bagi membolehkan produk belangkas dipasarkan pada masa depan," katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara KIDIKB dengan UMT yang disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, di sini, semalam.
Pada majlis itu, UMT diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin dan Ilias mewakili KIDIKB. Menerusi kerjasama itu, UMT akan membuat penyelidikan bagi menghasilkan baka belangkas yang cepat membesar menggunakan kaedah bioteknologi.
Bagi penghasilan di Sabah dan Sarawak, pengusaha memerlukan 45 ekor bagi menghasilkan satu liter
darah, manakala di Semenanjung memerlukan 115 ekor belangkas bagi jumlah darah sama.
Ketika ini, belangkas liar dijual pada harga RM5 seekor dan dua daripada tiga spesies belangkas yang ada di dunia, mudah ditemui di sekitar perairan negara ini.
Kajian UMT setakat ini mendapati darah biru pada belangkas di negara ini mempunyai bahan bioaktif yang boleh digunakan bagi mengesan bakteria berbahaya, tetapi potensi itu memerlukan kajian lanjut.
Ilias berkata, berdasarkan perkembangan itu, industri belangkas mampu menjadi sumber pendapatan sampingan lumayan kepada nelayan yang terbabit dengannya.
Katanya, pada peringkat permulaan, kira-kira 500 nelayan sekitar pantai Kelantan seperti Bachok dan Tok Bali terbabit dalam ternakan belangkas dengan masing-masing menternak 500 ekor.
"Mereka terbabit dalam industri ini dijangka menikmati pulangan minimum sehingga RM1,200 sebulan bagi setiap musim penuaian,” katanya.

“Setiap peserta akan diberi 500 ekor belangkas untuk dipelihara. Selain nilai komersial daripada segi perniagaan, projek ini secara tidak langsung membantu golongan memerlukan ini menambah pendapatan untuk membaiki taraf hidup mereka,” katanya.

Perlis Hasrat Jadi Pengeluar Belut

belut

KANGAR, 21 Jan (Bernama) -- Perlis berhasrat menjadi pengeluar utama belut di negara ini berikutan permintaan di peringkat global yang semakin meningkat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu hari ini.
Menurutnya, kajian masih dijalankan mengenai kesesuaian projek ternakan belut secara komersil itu sebelum ia direalisasikan secara usahasama antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat tempatan.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata Mass-Agri Consortium Sdn Bhd (Mass-Agri) kini dalam proses perbincangan dan kajian kesesuaian bagi melaksanakan projek itu di negeri ini.
Jika direalisasikan kelak, projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 12,000 tan metrik belut setahun, untuk dibekalkan kepada China dan Taiwan.
Md Isa percaya, ternakan belut sesuai dilakukan di negeri ini kerana sebelum ini pun belut banyak hidup di kawasan sawah yang berlumpur.
Beliau berkata, Mass-Agri memerlukan kawasan seluas 809 hektar untuk dijadikan tapak kolam ternakan itu dan ia akan dilaksanakan secara kontrak perladangan.
Di bawah kontrak perladangan itu, Mass-Agri akan menyediakan benih, makanan dan penyeliaan manakala para pengusaha menyediakan tapak seluas hampir sehektar untuk empat kolam yang mampu menghasilkan kira-kira 1.5 tan metrik belut pada setiap kolam.
Katanya, satu pusingan projek itu mengambil masa enam bulan dan setiap pengusaha dijangka mampu meraih pendapatan bersih RM60,000 setahun atau RM5,000 setiap bulan.
Mereka juga boleh menternak ikan tilapia di dalam kolam ternakan belut untuk mendapatkan pendapatan tambahan, katanya.
-- BERNAMA

Technorati Tags: ,

Wednesday 15 February 2012

Potensi ternakan tilapia

image

TILAPIA matang yang cukup umur akan dituai sebelum dimasukkan ke dalam kolam jualan.

SEBELUM terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Abdul Karim Mohd. Yusof, 50, telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian. Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenalpasti permintaan pasaran.

Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun lepas, Abdul Karim memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama adiknya seluas 2.4 hektar ( enam ekar) di Kampung Padang Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka.

''Sebagai permulaan, saya dan adik membuka lima buah kolam untuk menternak ikan keli dengan modal RM100 ribu.

''Peringkat awal penglibatan, saya banyak dibantu oleh Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah daripada segi khidmat nasihat dan juga latihan.

''Selain itu, saya turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melekek Luar serta ahli keluarga yang banyak membantu,'' katanya ketika di temui di kolam ternakannya di Melaka baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, operasi penternakan itu dijalankan di bawah penjenamaan syarikatnya, Mentari Timur Agrofarm yang ditubuhkan pada awal 2010.

Selepas melihat perjalanan operasi ternakan keli yang terus stabil dan konsisten, dia terdorong untuk cuba menternak ikan tilapia pula.

Percaturannya berhasil apabila ternakan tilapia yang diusahakan memberi hasil memuaskan serta menerima permintaan tinggi.

Abdul Karim kemudiannya mengambil keputusan untuk lebih memberi fokus dan komitmen terhadap penternakan tilapia.

Kini, dia dan adiknya mempunyai sebanyak 19 buah kolam ternakan dengan 15 daripadanya merupakan kolam ternakan tilapia dan selebihnya ikan keli.

Bagaimanapun, dia turut bercadang menambah kapasiti ternakan kelinya pada masa akan datang.

Bercerita mengenai perniagaan ternakan ikan air tawarnya, Abdul Karim memberitahu, dia dan adiknya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama di peringkat awal.

''Sebagai contoh, dahulu kami mengambil anak benih ikan daripada pembekal di Ipoh, Perak.

''Apa yang menjadi masalah, banyak anak benih ini mati disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh.

''Mencari penyelesaian masalah itu, kami kemudian membeli pula anak benih daripada pembekal di sekitar kawasan negeri Melaka,'' katanya yang turut mempunyai perniagaan pengurusan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang dan juga Alor Setar, Kedah.

Cabaran lainnya, ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi.

Namun, untuk fasa kedua, dia dan adiknya semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dengan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran penyakit serta serangan binatang seperti burung dan biawak.

Untuk mengatasi masalah tersebut, dia ada mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah.

''Pegawai Perikanan Daerah sering datang membuat lawatan untuk memberi nasihat dalam pelbagai perkara selain memeriksa sukatan kandungan pH dan kesesuaian air kolam yang diperolehi daripada anak sungai berhampiran,'' jelasnya yang turut dibantu oleh adiknya, Samsuddin Mohd. Yusof bersama beberapa kakitangan lain.

Tips ternak tilapia sangkar

TILAPIA merah atau nama saintifiknya Oreochromis sp dari famili Cichlidae adalah spesies ikan air tawar yang berasal dari Benua Afrika.

Ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 50-an, mempunyai kadar tumbesaran yang cepat serta warna yang menarik.

Ternakan ikan sangkar merupakan suatu proses pemeliharaan ikan dari peringkat juvenil hingga ke peringkat kutipan hasil.

Kaedah ternakan dalam sangkar biasanya dijalankan di kawasan di mana kolam tidak dapat dibina seperti di kuala sungai, selat, bekas lombong lama dan tasik.

Pemilihan tapak

Lokasi yang dipilih akan menentukan keupayaan muatan sangkar (carrying capacity) kerana kualiti air bergantung kepada keadaan persekitaran luar sangkar.

Aliran air menerusi sangkar semasa bekalan air dari empangan, tiupan angin atau pergerakan ikan dalam sangkar akan menambahkan oksigen terlarut dan mengeluarkan bahan buangan dari dalam sangkar.

Antara faktor penting yang perlu diberi perhatian semasa pemilihan tapak pemasangan sangkar ialah kualiti air, kedalaman air dan kelajuan air.

Kualiti air dan persekitaran yang baik akan memberi kesan terhadap tumbesaran dengan cepat bagi sistem ternakan secara intensif.

Berikut adalah parameter dimana suhu air (20-35 darjah C) optimum (28-32 darjah C), pH air - 6-8, oksigen terlarut - lebih dari 2.5 ppm, karbon dioksida - kurang dari 2.5 ppm dan ammonia - kurang dari 1.0 ppm.

Reka bentuk dan pembinaan sangkar

Model sangkar yang digunakan mengandungi 20 petak sangkar pada setiap array. Saiz kerangka bagi satu petak sangkar adalah 3.45 meter (m) x 3.45 m iaitu 3.45 m panjang dan 0.45 m tinggi.

Struktur kerangka sangkar disaran menggunakan bahan plastik HDPE (High density polyethlene).

Saiz mata pukat 250 mm yang digunakan sesuai untuk pertukaran air yang maksimum. Kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah antara 1.8 - 2.0 meter.

Isipadu jaring kurungan ikan dalam sangkar bersaiz 3 m x 3 m adalah antara 16-18 meter padu. Sangkar yang menggunakan kerangka besi (G.I Pipe) bersaiz 6 m x 6 m juga boleh digunakan bagi mengurangkan kos.

Pengasuhan anak ikan

Anak ikan yang bersaiz 2.5-5.0 sentimeter (sm) perlu diasuh terlebih dahulu sebelum dilepas ke dalam sangkar atau kolam ternakan.

Tujuan pengasuhan adalah untuk memilih anak ikan yang sihat, cepat membesar dan bersaiz seragam (antara 50 dan 70 g seekor) serta memastikan agar anak ikan tidak terkeluar dari sangkar.

Kadar pelepasan benih

Kadar perlepasan bagi benih di dalam sangkar asuhan adalah 100 ekor semeter persegi.

Kadar perlepasan bagi ternakan pula ialah 40 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan yang rendah akan merugikan ruang yang terdapat dalam sangkar.

Kadar perlepasan yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan ikan lambat membesar dan merugikan masa ternakan.

Setelah mencapai saiz 7-10 sm ( antara 50 dan 70 gram seekor), anak benih ikan tilapia sesuai dipindahkan ke sangkar ternakan dengan jumlah 500 ekor setiap sangkar bagi sangkar bersaiz 3 m x 3 m manakala sangkar bersaiz 6 m x 6 m boleh dimasukkan 2,000 ekor benih.

Masa untuk melepaskan benih

Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan ke dalam sangkar ialah pada waktu pagi dan lewat petang.

Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari kerana pada masa ini cuaca panas dan akan memberi tekanan kepada benih ikan.

Pada masa itu suhu air dalam beg plastik dan suhu air disangkar mungkin berbeza di mana perbezaan suhu yang ketara boleh mengakibatkan ikan mengalami tekanan dan kematian yang tinggi.

Kaedah pelepasan benih

Sukat suhu dari dalam tangki serta suhu air sangkar dan buat perbandingan.

Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air sangkar, maka perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama dengan suhu air sangkar.

Sekiranya suhu air sangkar lebih tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan menjemur tangki perlu dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air sangkar.

Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air sangkar sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.

Pemakanan

Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari fitoplankton dan zooplankton.

Ia penting bagi benih ikan di peringkat asuhan dan boleh didapati di dalam kolam seperti Moina, rotifer, cladosera, daphnid dan sebagainya.

Makanan rumusan pula adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang terdiri dari tiga kategori iaitu pelet pemula diberikan kepada benih yang baru dilepaskan sehingga berumur satu hingga dua bulan.

Pelet pertumbuhan merupakan makanan tumbesaran untuk ikan yang berumur melebihi dua bulan hingga empat bulan.

Pelet pengakhir pula adalah makanan penamat di mana saiznya lebih besar dari makanan tumbesaran dan diberi kepada ikan yang berumur melebihi lima bulan sehingga mencapai saiz pasaran.

Selain makanan tambahan sisa pertanian juga boleh diberi seperti daun ubi dan kangkong, sisa sayuran, dedak padi, gandum dan barli juga sisa dari kilang seperti hampas soya dan hampas kacang tanah dan ikan baja.

Penuaian

Ikan tilapia dituai apabila mencapai saiz antara 500 dan 600 g seekor.

Bagi pasaran restoran, keutamaan diberi kepada ikan yang bersaiz melebihi 600 g seekor dalam bentuk ikan hidup.

Jika kadar pelepasan ikan tilapia pada setiap sangkar adalah sebanyak antara 650 dan 850 ekor, anggaran hasil yang dituai adalah antara antara 350 dan 400 kg sesangkar.

Penuaian ikan hendaklah dilakukan dengan baik untuk mengelakkan ikan dari terkejut (stress).

Kawalan dan kesihatan

Penyakit ikan boleh berlaku atau disebabkan kekurangan oksigen larut dalam air, baja ternakan yang tidak reput, sumber makanan yang dijangkiti penyakit dan cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan ikan mengalami tegasan dan lemah.

Keadaan ini akan menyebabkan agen penyakit akan menyerang ikan dan berlakunya jangkitan penyakit ikan penyakit juga boleh dibawa masuk ke kawasan ternakan melalui anak ikan yang diimport atau dibeli dari sumber yang tidak menentu.

Penyakit tompok putih iaitu penyakit yang disebabkan protozoa.

Tanda - tanda penyakit adalah tompok putih pada badan dan sirip ikan.

Ikan akan menjadi lemah dan timbul di atas permukaan.

Rawatan yang boleh digunakan ialah dengan memasukkan ikan yang diserang dalam larutan formalin dan garam dengan kepekatan 1000 ppm + 20-25 ppm 3 kali berturut-turut (setiap dua hari) selama dua minggu atau Kalium permangganat 2.0 ppm tiap-tiap hari selama 3 hari untuk atau natrium klorida dengan kepekatan 10 ppt tiap-tiap hari selama 3 hari.

Penyakit jangkitan trichodina disebabkan oleh parasit dan menyerang bahagian kulit dan insang ikan.

Akan terdapat lendir yang berlebihan pada kulit dan insang. Rawatan Rendam dalam Formalin 25 ppm 2 hari berturut-turut selama 1 minggu. Penyakit Argulosis Bintik-bintuk merah. Rawatan : Rendam dalam Formalin - 2.0 ppm. 

DAPATKAN SEGERA EBOOK PANDUAN ASAS TERNAKAN IKAN TILAPIA

Technorati Tags:

Tuesday 14 February 2012

UDANG KARA AIR TAWAR

blue-crayfish

Kenali Spesies Udang Kara Air Tawar

Merupakan makanan eksklusif di hotel dan restoran ternama, sajian udang kara pasti memikat selera sesiapa saja. Ia mempunyai kandungan kolesterol yang sangat rendah dan tinggi protein. Malah, harganya lebih baik daripada udang galah dan lebih berat timbangannya. Di pasaran, harga bagi yang bersaiz enam inci ialah RM60 sekilogram. Ini menjadikan udang kara mampu dinikmati harganya yang berpatutan. Itulah spesies udang kara air tawar atau Blue (Cherax quadricarinatus) atau dikenali sebagai Blue lobster dan red claw.
Udang kara air tawar yang berasal dari Australia ini paling sesuai hidup di air tawar dalam keadaan pH7 ke. Saiz matang udang ini ialah dalam lingkungan 8 inci hingga 14 inci. Bagaimanapun, oleh kerana warnanya menarik iaitu kebiru-biruan dan berbintik putih, pengguna seluruh dunia cenderung menjadikan spesies air tawar ini sebagai hiasan akuarium. Saiz akuarium yang sesuai bagi udang kara dewasa sekurang-kurangnya berukuran 38 liter yang boleh menempatkan sepasang udang kara.
Penternakan udang kara sangat mudah dan kosnya sangat rendah yang mana kadar kematiannya adalah rendah berbanding spesies lain. Bahantara (medium) yang sesuai digunakan bagi dasar akuarium ialah batu sungai halus (freshwater gravel) atau pasir sungai. Kayu bakau yang telah direndam dengan air tawar boleh digunakan untuk menyediakan kawasan perlindungan udang kara tersebut. Kebanyakan udang kara ini mempunyai
berpeluang atau apabila sumber makanan terhad. Karnivorisme selalu berlaku ketika udang melengkapkan proses penukaran kulit cangkerangnya (kulit udang yang baru adalah lembut selepas kulit asal ditanggalkan).
Ruang yang terhad dan kekurangan tempat persembunyian juga menyebabkan udang kara memakan sesama sendiri. Suhu air yang sesuai ialah antara 27 hingga 30 darjah Celsius. Udang kara juga bersifat omnivor dalam jenis pemakanannya iaitu ia akan memakan apa sahaja benda yang boleh dimakan di dalam akuarium. Pelet amat sesuai sebagai makanan udang kara yang boleh dibeli di kedai akuarium. Makanan pelet ikan tilapia boleh juga digunakan sebagai makanan udang ini asalkan pelet itu boleh tenggelam di dalam dasar air.
Semasa proses penukaran kulit cangkerang, udang ini akan memakan semula kulit cangkerang yang ditanggalkan dari badannya untuk mendapatkan nutrien gentian bagi proses tumbesaran semula cangkerang. Proses pembiakan berlaku apabila undang kara mencapai saiz antara tiga hingga empat inci. Udang jantan akan memindahkan sperma kepada udang betina dan telur akan dibawa di bahagian bawah perut udang betina. Telur udang akan menetas dalam tempoh 40 hari selepas disenyawakan. Setiap induk betina mampu bertelur antara 50 hingga 1,500 ekor anak setiap kali bertelur. Induk mampu bertelur tiga kali setahun. Ia amat mudah dipelihara dan dikendalikan oleh setiap golongan.

Mendepani cabaran sektor perikanan

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

image

Ternakan udang antara bidang akuakultur yang mendatangkan pulangan lumayan.


PENINGKATAN harga makanan dunia serta kekurangan bekalan makanan telah menimbulkan cabaran dalam menjamin stok dalam negara agar sentiasa mencukupi.

Sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab dalam memastikan sumber hasil laut negara sentiasa berada pada tahap yang baik, Jabatan Perikanan pastinya telah terlebih dahulu memikirkan jalan terbaik untuk tujuan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood turut menyedari cabaran-cabaran baru yang bakal diharungi.

Sebagai peneraju, beliau memikul tanggungjawab penting dalam menyelesai serta mengharungi cabaran mendatang.

Menurut Ahamad Sabki, pelbagai cabaran baru telah dikenal pasti dalam sektor perikanan Malaysia dalam memastikan sumber perikanan sentiasa mencukupi.

"Kekurangan bekalan makan di peringkat antarabangsa, perubahan iklim, bencana alam dan peningkatan harga minyak akibat pergolakan yang berlaku di beberapa negara pengeluar minyak turut dilihat sebagai cabaran.

"Namun, bagi negara kita keadaan bekalan makanan termasuk bekalan import masih mampu menampung permintaan rakyat," ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Biarpun begitu, sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab, setiap cabaran baru perlu dikenal pasti agar dapat diatasi dengan segera.

Namun, secara keseluruhannya, bekalan makanan dalam negara terutama yang berkaitan ikan berada pada tahap yang mana masih mampu menampung permintaan rakyat.

Pada tahun lepas, pengeluaran ikan tempatan mencatatkan sebanyak 1.67 juta tan metrik iaitu 1.29 juta tan metrik daripada perikanan tangkapan, selebihnya, 381,000 tan metrik adalah hasil daripada industri akuakultur.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan sasaran supaya mencapai lebihan (surplus) dalam imbangan perdagangan makanan pada tahun 2010 melalui Pelan Tindakan BOT (balance of trade).

Namun begitu, trend import telah meningkat sehingga mencecah RM37.41 billion pada tahun yang sama dan keadaan tersebut telah menyebabkan defisit BOT terus berlaku.

Bagaimanapun bagi produk perikanan, nilai eksport adalah melebihi nilai import.

Bagi menghadapai cabaran pada masa akan datang, Jabatan Perikanan turut melaksanakan program transformasi bagi tahun ini sehingga tahun 2020.

Antaranya, visi utama jabatan untuk menjadi peneraju transformasi perikanan mampan dan berdaya saing.

Negara juga memberi penumpuan terhadap Dasar Keselamatan Makanan Nasional agar sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa akan datang.

Antaranya, adalah sektor perikanan seperti produk ikan segar yang mempunyai wajaran paling tinggi dalam kumpulan makanan yang digunakan oleh rakyat negara ini.

Oleh yang demikian, ikan ditetapkan sebagai satu komoditi sekuriti yang mana ia ditampung melalui penangkapan ikan laut dan industri akuakultur.

Namun cabaran terbesar dalam jabatan ini adalah bagi menguruskan sumber tenaga buruh dalam sektor perikanan negara.

Sehingga kini, Malaysia hanya memiliki 125,632 nelayan (termasuk nelayan asing) dan hanya 23,483 orang penternak dalam bidang akuakultur.

Manakala vesel penangkapan ikan berlesen adalah sebanyak 48,745 buah yang terdiri daripada 40,103 vesel tradisional, 7,897 vesel komersial dan 745 vesel angkut dan MPI (Menunggu Peranti Pengumpul Ikan).

Justeru pada jumlah tenaga yang ada kini ia dilihat sebagai satu cabaran buat Jabatan Perikanan untuk merealisasikan sasaran pengeluaran ikan negara kepada 2.56 juta tan metrik menjelang tahun 2020.

Malah cabaran tersebut turut disertai dengan isu kekurangan nelayan tempatan untuk bekerja sebagai krew vesel penangkapan.

Jelas Ahamad Sabki, ekoran kekurangan tenaga buruh yang amat mendesak dalam sektor tersebut, penggunaan pekerja asing tidak dapat dielakkan.

"Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) menerima banyak memorandum dan surat rayuan bagi mendapatkan kebenaran menggunakan nelayan asing di atas vesel komersial Zon B.

"Kita lihat, pada tahun 2009 sahaja seramai 32,000 nelayan asing telah bekerja di dalam sektor ini," ujarnya.

Jabatan Perikanan juga turut mengambil langkah berhati-hati agar industri perikanan tidak mempunyai terlalu ramai pekerja asing bagi mengelakkan masalah terhadap keselamatan negara.

Pada masa yang sama, jabatan berkenana turut mengakui masalah kekurangan tenaga buruh ini berpunca apabila sebahagian besar nelayan tempatan yang semakin berumur dan beransur meninggalkan pekerjaan tersebut.

Di tambah pula, minat bagi golongan muda untuk menyambung tugas sebagai nelayan turut semakin berkurang.

"Ia berikutan pekerjaan tersebut dilihat tidak dapat menjamin masa depan mereka kerana pelbagai kelebihan tidak diperolehi mereka berbanding jika mereka menceburkan diri dalam pekerjaan lain.

"Hal ini telah lama kita fikirkan dan pelbagai jalan penyelesaian sedang di usahakan," jelasnya.

Antara usaha Jabatan Perikanan adalah seperti menubuhkan syarikat bagi memantau serta menjaga kebajikan nelayan sama seperti yang dilakukan oleh syarikat swasta di dalam sektor lain.

Malah, nelayan yang bernaung di bawah mana-mana syarikat tersebut akan menerima gaji dan faedah yang tetap di samping kebajikan mereka turut terjamin.

Menurut Ahamad Sabki, inisiatif penubuhan syarikat tersebut adalah bagi menarik minat golongan muda untuk menjadi nelayan tetapi dalam skop kerjaya yang lebih tersusun dan terjamin.

"Kita faham, rezeki nelayan ini bergantung harap kepada keadaan laut, jika laut bergelora maka kuranglah hasil tangkapan, begitu juga sebaliknya.

"Bagi golongan muda, situasi demikian bukanlah pilihan mereka sedangkan di luar menawarkan pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Jelas beliau lagi, jika dilihat negara-negara maju seperti Jepun, golongan nelayan mereka telah maju, memiliki syarikat yang besar malah ia merupakan suatu pekerjaan yang amat menguntungkan.

"Saya mahu lihat nelayan kita menjadi setanding mereka, memiliki pengurusan yang cekap, siap beruniform malah pada hari-hari yang tidak mendatangkan hasil mereka masih lagi memiliki pendapatan," ujarnya.

Dalam pada itu, kini terdapat 16 ladang akuakultur dan 24 vesel penangkapan ikan yang menerima Persijilan Kualiti yang dikeluarkan oleh jabatan. Ia bagi membolehkan ikan yang ditangkap atau diternak boleh dieksport ke negara-negara Eropah.

Cabaran seterusnya adalah bagi mewujudkan lebih ramai pengusaha akuakultur dan vesel penangkapan ikan untuk mencapai piawaian tersebut.

Selain itu, mereka juga berperanan menjaga keselamatan nelayan di laut, sistem komunikasi nelayan, pemeriksaan vesel (EU Catch Certificate), memantau penggunaan alat Sistem Penguursan Vesel (VMS) dan borang LOV, biosekuriti, kualiti dan keselamatan makanan dan pelbagai lagi.

Technorati Tags:

Monday 13 February 2012

Ikan marin Bitt Soon ke pasaran antarabangsa

Dipetik dari Utusan Malaysia Online

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar SAIFOL BAHARI ASHARI

 

ikan merah

IKAN merah bakau merupakan antara spesies yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antrabangsa.


MINATNYA dalam aktiviti penternakan ikan laut dalam sangkar timbul ketika bertugas di organisasi perusahaan berkaitan dengan bidang itu empat tahun lalu.

Ketika itu, Lin Bitt Soon, 30, bekerja memantau bahagian pasaran di syarikat Cergas Intrajaya Sdn. Bhd. yang berpangkalan di daerah Sandakan, Sabah.

Melihat komitmen dan kesungguhannya, dia kemudian diberi kepercayaan menguruskan bahagian penternakan kolam di syarikat yang sama.

Ini kerana pada tahun 2008, bahagian berkenaan berhadapan dengan masalah pengurusan dan memerlukan sokongan serta penambahbaikan daripada segi operasi pengendalian.

Berbekalkan pengalaman yang diperolehi, Bitt Soon menanam azam ingin menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut secara lebih mendalam. Untuk itu, dia mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Institut Skill-Tech di Keningau, Sabah dalam kursus Sijil Akuakultur bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua selama setahun.

"Menerusi usaha ini, saya menyimpan cita-cita menjadi seorang usahawan dan penternak ikan marin dalam sangkar yang berjaya ke peringkat antarabangsa.

"Saya melihat industri ini mempunyai masa depan dan potensi cukup besar selain menerima permintaan yang tinggi kerana menyumbang lebih 70 peratus keperluan protein dalam kehidupan manusia.

"Ia berbeza daripada bidang pengeluaran makanan berasaskan daging seperti penternakan lembu, kambing dan ayam yang sering terdedah kepada pelbagai risiko terutama penyakit,'' katanya ketika ditemui di sangkar ternakannya di Pulau Nunuyan, Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Selepas menamatkan pengajian, dia kembali bertugas di syarikat yang sama sebagai Pengurus Operasi Ternakan.

Menurutnya, perniagaan ternakan ikan laut dalam sangkar yang dijalankan syarikat berkenaan telah bermula sejak tahun 2006.

Bermula dengan 36 petak kolam pada peringkat awal, syarikat tersebut hari ini mempunyai 96 buah petak bersaiz 25 meter persegi setiap satu.

Antara spesies ikan yang diternak adalah seperti ikan merah bakau, merah laut, siakap, kerapu, tabung, ikan ayam dan ikan kaci selain udang karang (lobster).

"Operasi ternakan untuk kesemua spesies ikan ini dijalankan secara bermusim mengikut permintaan dan keadaan cuaca.

"Namun, spesies yang sering menjadi tumpuan adalah siakap dan merah bakau dengan pengeluaran hasil sekitar 20 tan setahun dan keuntungan mencecah RM500,000.

"Secara umumnya, kos operasi kolam ini dianggarkan berjumlah RM30,000 dalam masa sebulan termasuk pengeluaran makanan.

"Ini kerana saya amat menitikberatkan soal pemakanan bagi memastikan ikan yang diternak mempunyai isi berkualiti tinggi, tidak lembik dan rasanya sedap,'' jelas anak sulung daripada lima beradik itu.

Untuk sampai ke kawasan petak kolam ternakannya, ia mengambil masa 15 minit perjalanan menaiki bot dari jeti nelayan di Sandakan.

Daripada segi tenaga kerja, Bitt Soon dibantu oleh lapan kakitangan untuk melakukan kerja-kerja pembenihan, penjagaan dan penangkapan ikan-ikan matang.

Kesemua hasil tangkapan akan dipasarkan dan dijual kepada pemborong serta pengusaha restoran di daerah-daerah berhampiran seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan juga di Semenanjung Malaysia.

Sekali dalam masa setahun pula, para pemborong dari China, Hong Kong dan Singapura akan mengambil bekalan ikan marin dalam kuantiti sekitar 10 hingga 20 tan.

SEPAT SIAM

Untuk mengenal jantina ikan sepat siam:

Sepat siam jantan mempunyai fizikal yang kurus dan tak lebar,berwarna gelap, manakala sirip dorsel bebentuk tajam sampai ke ekor.

sepat siam

Sepat betina pula mempunyai fizikal yang agak lebar, bulat,serta warnanya cerah berbanding jantan. Manakala sirip dorselnya berbentuk membulat sedikit dan agak pendek tak sampai ke ekor..

Teknik pembenihan adalah dengan menggunakan kaedah separa semulajadi dengan melakukan suntikan hormon di sirip dorsel untuk mengelakan kematian induk..

Penyedian tempat pembenihan:

Sediakan air bersih dengan ph sekitar 5.5 ke 6.5 (ikan sepat mermelukan air yang masam untuk bertelur) hapa (diperbuat dengan pvc, tali,lalang kering) dan boleh simpan juga daun ketapang untuk memudahkan ikan ini bertelur.

Sunday 12 February 2012

LOBSTER AIR TAWAR

Lobster Jantan

Pada lobster air tawar jantan terutama jenis Cherax Quadriumumnya mempunyai tanda merah pada bagian luar kedua hujung sepitnya. Tapi warna merah ini tidak terbentuk bila sepitnya masih kecil. Salah satu tanda yang dapat dikenal pasti ialah terdapatnya sepasang tonjolan pada pengkal kaki yang berdekatan dengan ekor. Jika hanya terdapat satu ia dipanggil intersex.

Lobster Betina

Pada lobster Red Claw, tidak ada tanda merah pada kedua sepitnya. Tanda yang jelas dilihat pada lobster betina ialah terdapatnya bulatan pada kaki ke tiga ( tengah ).

Lobster air tawar, red claw, udang kara air tawar

Kualiti yang diperlukan dalam penternakan Lobster Air Tawar (LAT)

Air hendaklah mengandungi oksigen terlarut pada kadar 5mg/l. Oksigen terlarut dapat ditambah dengan memasang alat pengudaraan (aerator ) atau air yang terus mengalir.

Kandungan ammonia yang tinggi sangat bahaya bagi LAT. Oleh itu, kawalan ammonia hendaklah pada paras 0.05mg/l. Sisa makanan yang tidak dikawal akan menjadikan sisa membusuk dan merosakkan air boleh menyebabkan kematian LAT.

Sumber Air

Air yang paling baik digunakan untuk penternak LAT adalah air tanah atau air sungai yang tawar. Namun perlu kenal pasti air sungai yang yang digunakan tidak tercemar oleh buangan industri, pembuang sampah atau aktivi meracun.

Pelindung Lobster

Boleh gunakan potongan PVC yang bersaiz 2 inci untuk lobster bersembunyi. Ini penting kerana LAT lebih suka tinggal dalam lubang atau di tempat yang agak gelap. Dengan adanya tempat persembunyian LAT, kepadatan boleh ditambah dalam satu-satu kolam.

Boleh juga ditambah dengan batu-batu, hidupan air, kayu dan sebagainya

Kematangan Lobster

Biasanya lobster air tawar akan menjadi matang apabila berumur lebih enam bulan. Pada saat itu ia akan mula bertelur dan membiak. Seekor LAT boleh mencapai sehingga 50 ke 200 biji telur dan sehingga ke 1000 biji telur mengikut saiz LAT betina.

PEMBENIHAN UDANG GALAH

udang galah, Macrobrachium rosenbergii

Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii)
Bahan-bahan
a. Tangki induk
b. Tangki asuhan
c. Artemia
d. Kastad telur
e. Botol yang telah dipotong tapaknya.
f. Jaring
g. Tali


Pembiakan secara semulajadi
Pembenihan Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) dilakukan secara pembiakan secara semulajadi. Ia dilakukan dengan cara meletakkan induk jantan dan betina dalam satu tangki simen dengan nisbah 1:2. Induk jantan boleh dikenalpasti dengan penyepit yang lebih panjang dan kebiruan. Terdapat juga penyepit kecil di antara kaki-kaki di badannya. Apabila induk betina yang matang telah menghasilkan telur berwarna kuning jingga, induk tersebut diasingkan dan diletakkan di bawah pengawasan.


Penyediaan dan cara kerja
Induk betina yang mempunyai telur berwarna jingga-coklat akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol yang mempunyai jaring di hujungnya. Botol ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tangki simen berukuran 4 x 4 x 1.5 meter dan diberi pengudaraan secukupnya. Botol tersebut diikat dengan tali di hujungnya untuk memudahkan proses pemberian makanan kepada induk. Saliniti untuk tangki pembiakan ini ialah antara 15-20 ppt. Saliniti akan diukur menggunakan refraktometer(Hanna Instrument). Setiap hari induk akan diberi makan sama ada hati ayam atau kastad telur untuk memastikan ia mendapat protein yang mencukupi untuk menghasilkan benih yang berkualiti. Induk akan diperiksa setiap hari untuk memastikan ia sudah melepaskan telurnya.
Apabila induk betina telah melepaskan telurnya, ia akan diangkat dan dimasukkan kembali ke dalam tangki induk. Selepas 3 hari, rega udang galah akan diberi makan nauplii artemia yang secukupnya. Jumlah artemia yang diberi adalah berdasarkan anggaran. Artemia akan diberi di waktu pagi dan petang. Pada peringkat ini, saliniti air dikekalkan pada 17 ppt. Jumlah artemia yang diberi dipastikan mencukupi dengan memeriksa rega udang galah. Jika artemia yang diberi adalah mencukupi, rega udang galah akan berwarna kemerahan di dalam kepalanya. Jika ia tidak mencukupi,rega udang galah akan berwarna lutsinar.
Selepas 2 minggu, proses penukaran makanan akan dilakukan dengan menukarkan artemia dengan kastad telur. Pada waktu ini, artemia akan diberi di waktu pagi dan kastad telur diberi di waktu petang. Selepas 3 hari, kastad telur diberi sepenuhnya di waktu pagi dan petang. Selepas 30 hari, rega udang galah akan bertukar menjadi pasca larva(post larvae,PL). Ini dapat dikenal pasti apabila anak udang ini berenang ke hadapan dan suka melekat di dinding tangki asuhan. Apabila sudah sampai ke peringkat ini, saliniti air akan diubah kepada 0 ppt secara berperingkat-peringkat untuk mengelakkan kejutan kepada anak-anak udang.


Perbincangan
Pengurusan udang galah adalah kritikal pada peringkat pengurusan larva kerana benih udang yang sensitif kepada persekitaran, saliniti, pemakanan dan kanibalisme. Seekor induk mungkin menghasilkan beribu-ribu anak benih tetapi jika pengurusan anak benih adalah teruk, hasil yang diperolehi akan mengecewakan. Induk yang dikurung di dalam botol ini didapati agak stress kerana berada dalam tempat yang kecil dan tidak selesa.Kaedah pemerikasaan secara harian juga mendapati 2 ekor induk yang dikurung bersama akan memakan rakannya jika makanan yang diberikan tidak mencukupi.


Kesimpulan
Jumlah anak benih yang mencapai peringkat PL atau pasca larva adalah sedikit berbanding jumlah semasa mula-mula ia menetas. Ini mungkin disebabkan oleh makanan yang tidak mencukupi, kualiti air yang tidak menentu dan persekitaran yang mendedahkannya kepada penyakit dan tekanan.

Monday 30 January 2012

POTENSI IKAN HIASAN

Ikan hiasan telah dicatatkan sebagai industri yang paling pesat perkembangannya dalam sektor pertanian dan ia merupakan industri berorientasikan eksport dimana 95 peratus pengeluaran negara untuk eksport.Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80 juta pada harga ladang, ia mempunyai profail antarabangsa. Malaysia merupakan pembekal dunia ketiga penting selepas Singapura dan Indonesia dengan pegangan 7 peratus dari eksport dunia pada tahun 2000.
Di pasaran dunia, eksport negara mengalami pertumbuhan purata 24 peratus setahun dalam nilai USD bagi tempoh 1990 - 2000. Semasa tempoh kemuncak perkembangan permintaan dunia iaitu dari 1990 - 1996, eksport negara mencatatkan pertumbuhan pesat 48 peratus setahun sebelum tumbuh perlahan pada kadar purata 4 peratus setahun bagi tempoh 1996 - 2000. Pencapaian ini masih memberansangkan kerana bagi tempoh tersebut, eksport dunia menguncup pada kadar -5 peratus setahun.
Pesaing-pesaing negara seperti Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat juga mengalami penguncupan eksport pada kadar -8 peratus, -8 peratus dan -14 peratus masing-masingnya. Walaubagaimanapun, Indonesia dan Czech Republic tumbuh pada kadar 25 peratus dan 3 peratus setahun masing-masing dan merupakan pesaing terdekat negara.
Dalam nilai Ringgit Malaysia, eksport ikan hiasan tumbuh pada kadar 35 peratus setahun dengan nilai eksport RM54 juta pada tahun 2001, tertinggi di dalam sektor pertanian dan eksport negara. Malaysia masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah. Pengeksportan terus adalah ke negara-negara Jepun, Hong Kong, United Kingdom, Itali dan Amerika Syarikat.
Kebanyakan ikan tropika yang popular ada terdapat di negara ini dan mendapat tempat di pasaran antarabangsa. Dalam tempoh 10 tahun, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan peningkatan nilai dari RM15 juta pada tahun 1990 ke RM80 juta pada tahun 2000.
Permintaan dunia adalah tertumpu kepada negara-negara EU (43%), Amerika (24%) dan Jepun (13%). Import dunia ikan hiasan pada tahun 2000 dianggarkan bernilai USD250.9 juta, iaitu peningkatan lebih dari 3.5 peratus dari tahun 1999 (USD242.4 juta). Ini merupakan titik pemulihan permintaan setelah dunia mengalami kejatuhan semasa krisis ekonomi dunia bermula tahun 1997. Sedikit sebanyak peristiwa September 11 menyumbang kepada pemulihan ini.
Masa depan industri ini adalah cerah. Permintaan dunia dijangka akan terus meningkat walaupun lebih perlahan pada kadar 2.5 - 4 peratus setahun. Import dunia pada tahun 2003 diramalkan bernilai USD281 juta, meningkat kepada USD303 juta pada tahun 2005. Sejajar dengan itu, eksport negara juga diramal terus meningkat kepada RM60 juta pada tahun 2003, RM73 juta pada tahun 2005 dan RM117 juta pada tahun 2010. Sumbangan ini akan meningkatkan syer pasaran negara dari 7 peratus sekarang kepada 9 peratus pada tahun 2003 dan 15 peratus pada tahun 2010. Pasaran domestik juga dijangka akan meningkat kepada RM8 juta pada tahun 2003 dan RM10 juta bagi tahun 2005. Bagi mempastikan sasaran ini di capai, beberapa strategi dan langkah-langkah perlu diambil segera lebih-lebih lagi dengan munculnya pengeluar-pengeluar utama yang baru seperti negara Thailand, China dan Taiwan.Terdapat 3 faktor penting kejayaan industri ini iaitu logistik, produk dan pemasaran. Malaysia perlu meningkatkan R&D untuk menjadi pengeluar ikan berkualiti tinggi di samping merangka skim insentif yang lebih menarik untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri ini. Isu kecekapan, kekerapan dan kos kargo perlu diatasi dengan penuh komitmen, perancangan dan perlaksanaan program pemasaran dan pengeluaran yang bersepadu di antara kerajaan dan industri adalah perlu bagi mewujudkan sinergi kearah mencapai matlamat tersebut. Pembangunan sumber manusia yang berkesan dan sistem maklumat yang cekap dan berkesan adalah tonggak kepada kejayaan. Secara keseluruhannya, industri ini telah menunjukkan potensi yang tinggi untuk dibangunkan secara lebih serius.Keadaan pasaran dunia yang konsisten juga boleh membantu industri ini untuk berkembang dengan lebih pesat

Industri ikan hiasan, rumpai laut berimpak tinggi

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi tumpuan kepada sektor bukan makanan berimpak tinggi terutama ikan hiasan dan rumpai laut dalam usaha meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata sarang burung walit, ternakan ikan hiasan dan rumpai laut antara sektor bukan makanan berimpak tinggi yang akan diberikan penekanan tahun ini berikutan ia berpotensi tinggi untuk berkembang.

Malah, katanya, aspek biosekuriti juga akan dipertingkatkan bagi memastikan sektor bukan makanan berimpak tinggi itu terutama ikan hiasan mampu dieksport keluar negara seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai pasaran lebih luas.

"Kita (kementerian) akan memastikan menjelang 2012, penggunaan biosekuriti terhadap ikan hiasan tempatan akan diwajibkan, bagi memastikan produk kita ini boleh memasuki pasaran EU.

"Kita tidak mahu aspek biosekuriti ini menyebabkan kita tidak dapat mengeksport ikan hiasan ke EU seperti yang berlaku kepada ikan koi dan emas tempatan," katanya kepada media selepas selepas menyampaikan amanat Tahun Baru pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Sementara itu, dalam amanatnya, Noh berkata, pada suku ketiga 2009, sektor pertanian menyumbang nilai tambah sebanyak 7.98 peratus kepada ekonomi negara iaitu menurun kepada RM10.71 bilion berbanding RM10.76 bilion pada 2008.

"Sektor bukan makanan menyumbang sebanyak 4.38 peratus atau RM5.88 bilion manakala sektor makanan menyumbang sebanyak 3.6 peratus atau RM4.83 bilion.

"Bagi suku ketiga 2009, sektor pertanian mengalami pengucupan sebanyak 0.5 peratus berbanding suku ketiga 2008 berikutan penurunan dalam sektor bukan makanan sebanyak lima peratus," katanya.